KUALA LUMPUR – Semua ahli politik diingatkan untuk terus kekal menjaga keharmonian negara dan kaum dengan tidak sesekali menyentuh isu 3R (agama, kaum, raja) dalam mana-mana pentas ceramah.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, beliau kesal insiden yang menyentuh isu 3R masih berlaku dalam kalangan ahli politik seperti yang didakwa melibatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Tambah beliau, kenyataan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri itu tidak sepatutnya dibuat kerana seolah-olah digunakan sebagai bahan kempen semata-mata untuk memenangi hati pengundi demi kepentingan politik peribadi.
“Puteri UMNO merasa kesal dan amat kecewa dengan keterlanjuran yang telah dilakukan seolah-olah cuba untuk mencemarkan kemuliaan institusi raja dengan politik kotor yang tidak berkesudahan.
“Kita menjunjung kasih diatas titah tegas yang dikeluarkan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah agar mengambil tindakan tegas supaya perkara sebegini tidak akan berulang lagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.
Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.
Media turut melaporkan, sebanyak 30 laporan polis sudah diterima berkaitan ucapan Muhyiddin ketika berkempen di PRK Nenggiri itu. – MalaysiaGazette