Penternak tidak menerima subsidi telur sejak awal tahun.
KUALA LUMPUR – Penternak ayam dilaporkan tidak menerima subsidi telur yang diumumkan kerajaan sehingga mereka perlu menanggung perbelanjaan yang lebih besar.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Ameer Ali Mydin berkata, untuk mengelakkan masalah aliran tunai, penternak terpaksa mengurangkan pengeluaran telur, sekali gua menyebabkan kekurangan telur pelbagai gred di pasaran.

Beliau berkata, pengumuman kerajaan untuk memberi subsidi dan mengurangkan harga runcit telur sebanyak tiga sen walaupun bertujuan mengurangkan beban pengguna, tetapi langkah itu tidak memanfaatkan peniaga.

“Harga telur dikekalkan pada 42 sen, 40 sen dan 38 sen mengikut gred A,B dan C. Tetapi jika subsidi tidak diberikan, maka penternak terpaksa menanggung kos tambahan yang berlaku,” katanya kepada China Press.

Dalam pada itu, Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Jeffrey Ng Choon Ngee berkata, penternak tidak menerima subsidi telur sejak awal tahun.

“Kerajaan pernah mengumum akan memberi subsidi 10 sen untuk setiap biji telur, tetapi tiada maklumat lanjut mengenainya.

“Oleh itu, peniaga berdepan kerugian untuk setiap biji telur yang dijual,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu juga menyebabkan penternak tidak berani untuk meningkatkan pengeluaran.

“Kami tidak mahu timbul masalah dengan kerajaan. Namun apabila bertanya kepada agensi berkenaan, mereka memberi pelbagai alasan.

“Mereka beritahu bahawa pegawai terbabit sudah bersara dan belum ada penggantinya. Pengusaha akhirnya terpaksa mengorek saku sendiri untuk beroperasi,” katanya.