Kontinjen UPM Juara Keseluruhan SUKUM ke-45

KUALA LUMPUR – Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (Sukum) kali-45 menutup tirai dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengekalkan kejuaraan selepas merangkul 15 emas, 16 perak dan 14 gangsa pada kejohanan yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sementara itu, naib johan temasya Sukum dimenangi Universiti Sains Malaysia (USM), selepas berjaya merangkul 15 emas, 10 perak dan 19 gangsa, manakala tuan rumah UMS meraih tempat ketiga dengan kutipan 14 emas, 14 perak dan 29 gangsa.

Pada majlis penutupan, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua kontinjen yang telah mengambil bahagian pada temasya Sukum ke-45.

“Tahniah kepada pengurus, jurulatih, dan atlet yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan kejayaan pasukan masing-masing. Semangat juang dan kesukanan tinggi yang dipamerkan oleh semua atlet sepanjang kejohanan telah mengangkat nama dan maruah universiti.

“Menang atau kalah, itu adat bertanding. Tiada pendekar yang tak bolos, tiada juara yang tak kalah,” katanya pada Majlis Penutupan Kejohanan Sukum kali ke-45 yang berlangsung di Dewan Resital UMS. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

Tambah Kasim, kejohanan tersebut diharap dapat memberi kenangan dan memori indah buat para atlet yang sudah berjuang sepanjang seminggu kejohanan tersebut berlangsung.

“Terima kasih juga kepada sukarelawan pelajar yang sanggup mengorbankan cuti semester untuk menjadi sebahagian daripada jawatankuasa pelaksana Sukum kali ini.

“Saya berharap semoga tali persaudaraan dan silaturahim dalam kalangan semua university awam yang menyertai kejohanan ini terus erat dan harmoni demi kesinambungan pada kejohanan yang akan datang,” ujar beliau.

Majlis penutupan turut menyaksikan penyerahan bendera Sukum kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), yang akan menjadi tuan rumah bagi edisi ke-46. – MalaysiaGazette