Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Wartawan MalaysiaGazette, Syahira Yahya sempena Malam Penghargaan Pelancongan Pahang 2024 di Kuantan malam tadi.

KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dipilih menjadi Pahang State Icon of Tourism pada Malam Anugerah Industri Pelancongan 2024 baru-baru ini.

Pada majlis itu beliau diwakili Exco Perpaduan Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man.

Bagaimanapun sempena Malam Penghargaan Pelancongan Pahang 2024 malam tadi, Yu Man menyerahkan anugerah berkenaan kepada Wan Rosdy.

Leong Yu Man menyerahkan anugerah Pahang State Icon of Tourism kepada Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy terpilih bersandarkan jasa dan pencapaian yang dilakukan menaikkan industri pelancongan di negeri ini.

Menurut Yu Man, majlis malam tadi juga diadakan bagi meraikan dan memberi penghargaan kepada 64 penerima dalam kalangan  penggiat industri pelancongan, agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

”Selain itu, majlis turut meraikan serta rakan media yang banyak membantu dalam menjadikan negeri Pahang sebagai destinasi pelancongan terbaik di Malaysia dan di mata dunia,” katanya.

Wartawan MalaysiaGazete, Syahira Yahya turut menerima sijil penghargaan.

Bertemakan Old Money, majlis yang julung kali itu merupakan usaha untuk mengekalkan jaringan sinergi antara Tourism Pahang dan agensi  luar yang terlibat bagi setiap program yang diadakan untuk mempromosikan pelancongan negeri.

Seramai 18 wakil media menerima sijil pada Malam Penghargaan Pelancongan Pahang 2024 yang diadakan di sebuah hotel di Kuantan pada malam tadi

Sementara itu, Wan Rosdy ketika berucap berkata, kerajaan negeri memberikan tumpuan kepada usaha merancakkan sektor pelancongan dengan kerjasama pihak berkepentingan bagi membantu  pembangunan infrastruktur dan aktiviti promosi pelancongan.

Ia sebagai usaha meningkatkan kehadiran pelancong ke Pahang terutamanya dalam persediaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Berdasarkan statistik kedatangan pelancong tahun 2023, seramai 13.2 juta pelancong telah hadir ke negeri ini dengan Genting Highlands, Cameron  Highlands, Kuantan, Temerloh, Cherating dan Pulau Tioman merupakan kawasan paling ramai dikunjungi.

“Sehingga setengah tahun pertama 2024 iaitu dari Januari hingga Jun, seramai 5.9 juta pelancong telah berkunjung ke negeri ini dengan anggaran perbelanjaan pelancong sebanyak RM5.3 biilion,” katanya.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 15.74 peratus berbanding tempoh sama tahun 2023 iaitu 5.1 juta pelancong, dengan anggaran perbelanjaan pelancong RM4.5 billion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast