KUALA LUMPUR – Seramai 400 mangsa mendakwa sebuah syarikat pelaburan mata wang asing telah memperdaya wang pelaburan mereka lebih enam tahun lalu dengan kerugian mencecah lebih RM100 juta.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa, lebih mengejutkan sehingga kini syarikat pelaburan itu masih lagi aktif merekrut untuk melabur dalam pelaburan yang kononnya berpangkalan di luar negara.
“Mereka ini seperti kebal, masih aktif dalam mencari pelabur-pelabur atau mangsa lain. Modus operandi mereka ini ialah menawarkan pulangan 2.5 peratus setiap bulan kepada mangsa bagi setiap wang pelaburan yang didepositkan kepada syarikat ini.
“Bayangkan syarikat ini beroperasi untuk sejak beberapa tahun dan menipu pelabur. Pada awalnya mangsa-mangsa ini mendapat pulangan konsisten sebelum mangsa mula merekrut keluarga dan kenalan lain.
“Tapi sejak awal tahun lepas, pelbagai alasan diberikan oleh broker syarikat ini kononnya wang pelaburan tersekat di Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), ketika itulah mangsa-mangsa ini sedar sudah tertipu. Ada mangsa kerugian lebih RM1juta,” katanya hari ini.
Sambung Hishamuddin, pihaknya mengesyaki tawaran skim pelaburan berkenaan tidak sah dari segi undang-undang kerana syarikat tersebut tidak mematuhi undang-undang kerajaan Malaysia.
Dakwa Hishamuddin juga, pihaknya difahamkan ada beberapa bank di Malaysia yang disyaki digunakan sebagai medium untuk menghantar wang ke luar negara, mendorong mangsa-mangsa melabur di dalam skim pelaburan tersebut.
“Pelaburan ini tidak sah dari segi undang-undang kerana syarikat tersebut gagal mematuhi undang-undang di negara ini.
“Syarikat ini terang-terangan tidak berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melakukan pelaburan. Pembayaran wang pelaburan juga melalui dua bank ternama di negara ini sebelum ke syarikat di luar negara itu.
“Dalang-dalang terus aktif tanpa sedikitpun rasa gentar promosi skim pelaburan forex ini, kita mohon pihak berwajib menyiasat perkara ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, selain tindakan membawa sindiket ini ke muka pengadilan,” ujarnya. -MalaysiaGazette