M.Kumar

JOHOR BAHRU – Seorang broker wanita dari Muar rugi RM1.45 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan luar negara.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, mangsa merupakan wanita tempatan berusia 44 tahun dan membuat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu.

Beliau berkata, semuanya bermula apabila mangsa melayari satu Facebook pada Mei lalu dan terlihat iklan pelaburan ‘stock market’ di Hong Kong dengan nama Pantheon Ventures.

“Ia menawarkan keuntungan 100 peratus iaitu 25 peratus untuk ejen dan 75 peratus untuk pelabur.

“Pengadu kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp bernama ‘V-27 Pantheon Market Insight Academy’ untuk diberi penerangan mengenai pelaburan tersebut dan pengadu turut ditawarkan perjalanan percuma ke Hong Kong untuk berjumpa dengan pelabur-pelabur di sana,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Kumar berkata, pengadu yang terpedaya dengan keuntungan yang dijanjikan telah membuat pembayaran ke beberapa akaun bank tempatan antara tempoh Jun hingga Ogos 2024 berjumlah hampir RM1.5 juta.

“Pengadu turut memuat turun aplikasi Apex untuk memantau pelaburan berkenaan. Selepas bayaran dibuat, pengadu mendapati pelaburannya menjana keuntungan seperti dipaparkan dalam aplikasi Apex.

“Pengaru juga berjaya mengeluarkan sejumlah daripada keuntungan diperolehi dan meninggalkan baki RM1,450,000 untuk meneruskan pelaburan,” katanya.

Menurutnya, pengadu kemudian ingin mengeluarkan lagi wang keuntungan diperolehi, namun tidak berjaya atas pelbagai alasan antaranya pengadu dikatakan mempunyai tunggakan wang pelaburan dan tidak mengikut peraturan mereka sebelum disekat daripada kumpulan Whatsapp itu.

Kumar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kesalahan tipu.

Pada masa sama, Kumar memaklumkan bahawa secara keseluruhannya, bagi tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 399 kes tipu pelaburan dengan kerugian berjumlah RM32.9 juta telah direkodkan berbanding 327 kes dengan kerugian RM26 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.

“Kita ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang ditawarkan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan dengan pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti bagi mengesahkan sama ada pelaburan yang ditawarkan itu dilesenkan dan mendapat kebenaran dari agensi berkenaan untuk beroperasi,” katanya.- MalaysiaGazette