Dr Mohd Redzuan dan Mohd Ariff (tengah) selepas sidang akhbar program Fun Walk 2024 Blood Seekers di Double Three Hotel, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) akan menggerak seberapa ramai daripada 29,000 sukarelawannya memantau dan membuat aduan kenaikan harga barang susulan pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam, minggu lalu.

Timbalan Presiden MTPN, Masrudi Abdul Rahman berkata, langkah tersebut bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati terutama barang keperluan asas selepas pengumuman tersebut.

“Mereka akan menjadi mata dan telinga MTPN. Sebelum ini usaha itu sudah digerakkan sejak penyelarasan harga diesel yang menyaksikan harga barang naik.

“Setakat ini kita masih belum menerima sebarang aduan daripada pengguna berkenaan kenaikan harga barang sejak pengumuman tersebut tetapi pihak MTPN tetap memantau harga barang semasa.

“Begitu juga kita dimaklumkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut melakukan pemantauan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar program Fun Walk 2024 Blood Seekers di Double Three Hotel di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Unit Perubatan Transfusi Hospital Sultan Ismail (HSI), Dr Mohd Redzuan Abdullah serta Ketua Exco Sukan, Persembahan dan Rekreasi MTPN, Mohd Ariff Omar.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam dinaikkan kepada 15 peratus manakala pengurusan tertinggi dinaikkan pada kadar tujuh peratus.

Pelaksanaan pelarasan gaji itu dilakukan menerusi dua fasa bermula 1 Disember depan dan 1 Januari 2026. – MalaysiaGazette