PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan bertoleransi dengan mana-mana ahlinya termasuk bekas Ahli Parlimen parti itu sekiranya didapati terlibat dalam kes gangguan seksual.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya memandang serius isu gangguan seksual sama ada yang berlaku di dalam parti itu atau melibatkan mana-mana organisasi kerajaan.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan bekas Ahli Parlimen PKR yang dikatakan terbabit dalam kes gangguan seksual.
“Memandangkan ketika ini perkara ini dalam siasatan polis, waktu ini sama ada dalam parti (PKR) atau kerajaan, kita belum dapat maklumat terperinci, jadi kita serah kepada polis untuk lakukan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Fahmi ditanya berkenaan tindakan yang akan diambil PKR susulan siasatan polis terhadap seorang bekas Ahli Parlimen yang didakwa daripada parti itu berkait kes gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah pasar raya di Kota Damansara, baru-baru ini.
Suspek berkenaan juga dipercayai bertugas di sebuah syarikat badan berkanun dan menjawat jawatan sebagai pengarah bukan eksekutif.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beliau juga akan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan keputusan polis mengklasifikan kes gangguan seksual ke atas seorang wartawan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Saya baru menerima maklumat berhubung perkara itu (NFA) dan berhasrat untuk membangkitkan (mengenainya) dengan pihak polis, tetapi belum (berkesempatan) lagi, maka saya tidak boleh komen lebih daripada itu,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengulangi jaminan kerajaan akan memastikan keselamatan dan memberikan keadilan sewajarnya kepada mana-mana wartawan yang menjadi mangsa gangguan seksual terutama ketika menjalankan tugas.
“Saya nak beri jaminan kepada semua wartawan, sekiranya anda menjadi mangsa gangguan seksual, sama ada anda lelaki atau wanita, sila buat laporan polis dan sampaikan maklumat kepada saya.
“Kita akan usaha pastikan keselamatan wartawan dijamin dan keadilan dapat ditegakkan untuk mereka yang menjadi mangsa,” katanya.
Sebelum ini, seorang wartawan wanita membuat laporan polis selepas mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang lelaki yang juga petugas kempen Pakatan Harapan (PH) ketika membuat liputan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang, bulan lalu. – MalaysiaGazette