KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menubuhkan sebuah pusat latihan GiatMARA Prima di Gua Musang, Kelantan.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, GiatMARA yang berskala besar itu akan menjadi mercu tanda institusi pendidikan Mara di Gua Musang.
Menurutnya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GiatMARA, Ts. Ahmad Hamdi Ibrahim berhubung cadangan penubuhan GiatMARA Prima di bandar tersebut pagi ini.
“Saya minta GiatMARA lakukan kajian mengenai program latihan TVET yang paling sesuai dan mampu menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak muda Gua Musang,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Tambah Asyraf, menerusi maklum balas yang diterima beliau sepanjang berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini, antara bidang yang sesuai ditawarkan di GiatMARA Prima Gua Musang itu kelak termasuk automatif, penyelenggaraan mesin-mesin dan jentera pertanian, agro pertanian dan banyak lagi.
“Insya-Allah saya akan pastikan hasrat ini dapat direalisasikan segera,” katanya. – MalaysiaGazette