Ratusan mat rempit diarahkan tolak motosikal masing-masing sejauh tiga kilometer selepas ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Pulau Pinang. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) menggesa semua ibu bapa untuk menerapkan nilai moral dan etika yang baik, selain memantau kemajuan anak-anak yang semakin membesar.

Presidennya, Dr Muhammad Mohan berkata, ibu bapa tidak seharusnya mengharapkan guru sekolah atau universiti sahaja untuk mengajar nilai-nilai ini.

Malah, ibu bapa sendiri perlu menjadi teladan terutamanya apabila anak-anak berada pada usia yang mudah terpengaruh.

Menurut beliau, pihaknya dukacita dengan kematian tragis dua remaja berusia 13 tahun dalam kemalangan lumba motosikal haram baru-baru ini di Elmina Business Park dekat Sungai Buloh.

Kejadian malang ini terjadi atas kegagalan ibu bapa memantau pergerakan, tabiat dan aktiviti anak-anak mereka.

Katanya, TI-Malaysia menyokong penuh kenyataan Ketua Polis Sungai Buloh, Supritendan Mohd Hafiz Muhammad Nor yang menyeru ibu bapa dan penjaga lebih bertanggungjawab memantau anak-anak mereka khususnya di bawah umur dan mendakwa ibu bapa kedua-dua mangsa mengikut Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Undang-undang sedia ada ini memastikan kanak-kanak dilindungi dan tak terdedah kepada bahaya yang tidak perlu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Muhammad turut mengaitkan nilai moral dalam kalangan belia ini semakin berkurangan.

Penyelidikan oleh Institut Penyelidikan Belia (IYRES) menunjukkan seramai 16,566 belia berumur 16 hingga 18 tahun terlibat dan ditahan dalam jenayah indeks di seluruh Malaysia termasuk kecurian, pembunuhan, rogol dan rompakan bersenjata dari 2018 hingga 2022.

Begitu juga dengan perangkaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penjawat awam berumur 40-an ke bawah merupakan 57.8% daripada 5,652 orang yang ditahan antara 2007 hingga 2022 atas kesalahan berkaitan rasuah.

“TI-Malaysia sering mengaitkan bahawa krisis integriti, etika asas serta nilai moral di kalangan belia merupakan maslaah utama dalam masyarakat pada hari ini.

“Hari ini kita melihat keruntuhan nilai moral dan etika asas dalam kalangan belia adalah serius dan berdasarkan data ini, ibu bapa juga tidak menjadi contoh kepada anak-anak dalam mengamalkan nilai moral dan etika yang baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette