KUANTAN – Rakyat di negeri ini akan menyaksikan acara perkahwinan puteri diraja yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok.
Istiadat Perkahwinan Diraja Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangan, FD Idzham FD Iskandar dijadual pada 22, 23 dan 25 Ogos ini.
Pada 22 Ogos bakal berlangsung Istiadat Akad Nikah di Istana Abdulaziz diikuti Istiadat Berinai pada 23 Ogos.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak istana, Istiadat Bersanding akan diadakan pada hari Ahad iaitu 25 Ogos.
Semua istiadat akan disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Tasik KotaSAS.
Pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi iaitu di Dataran MBK dan di Tasik KotaSAS sepanjang tempoh Istiadat Perkahwinan Diraja berlangsung. – MalaysiaGazette