Jahara Ahmad

KUANTAN – Ucapan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sangat mengecewakan rakyat Pahang.

Warga emas Jahara Ahmad, 68, berkata perbuatan Pengerusi Perikatan Nasional itu dilihat kurang ajar selain membelakangkan institusi diraja.

Ia juga menyerlahkan sikap ahli politik berkenaan yang pentingkan diri sendiri dengan memburukkan orang lain.

”Rasa semangat berkumpul perhimpunan ini. Kita menghormati Sultan Pahang tanpa mengira berapa pun usia.

“Apabila orang hina raja tak tahulah nak kata macam mana. Kalau (Muhyiddin) depan ni rasa nak ’henyuk-henyuk’ muka dia.

”Jangan buat kurang ajar dengan Sultan. Dia (Muhyiddin) tu siapa, Sultan Pahang ini siapa dia nak buat macam tu?

“Memang tak wajar langsung, kalau nak orang undi awak, janganlah burukkan orang lain.

”Awak cari identiti yang boleh naikkan nama awak, jangan buruk parti orang itu ini, mengeluarkan perkataan jahat.

“Sepatutnya, kita up diri kita sendiri,” ujarnya.

Tambah Jahara beliau bersama tiga sahabatnya sanggup hadir ke perhimpunan Soladariti Raja dan Rakyat Berpisah Tiada di perkarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan dengan menaiki bas Rapid bagi menzahirkan rasa sokongan dan ketaatan kepada Al-Sultan Abdullah.

Katanya sebagai rakyat Pahang, Al-Sultan Abdullah adalah seorang raja yang sangat disanjung rakyat di atas keperibadian murni baginda.

”Sultan Al-Abdullah ini baik sangat Ya Allah Tuhanku.

“Dalam memerintah baginda tak banyak cakap tapi tindakannya tepat dan kena sahaja. Rakyat tak pernah diabai, He is the best,” ujarnya penuh bersemangat.

Rakannya Jebah Jebus, 75, pula berpendapat isu berkaitan istana, bangsa dan agama sememangnya sensitif apabila dimainkan oleh sesetengah pihak.

Jebah Jebus

Jebah berkata tidak masuk akal apabila seorang pemimpin tertinggi parti memainkan sentimen 3R (agama, raja, kaum) dalam negara sedangkan prinsip Rukun Negara itu perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia.

”Makcik ni orang tua memang semangat bila orang usik Sultan ke bangsa ke. Makcik dari malam tadi fikir macam mana nak datang jadi sanggup naik bas bila mengenangkan anak-anak- kerja.

”Kalau buat begini kepada sultan tak patut, tak ada akal langsung sedangkan orang yang cakap tu berpelajaran. Tapi itulah kalau nak cerita hal politik ni tak habis memikir. Tak puas hati memanjang,” ujarnya.

Manakala bagi Datuk Wan Nor Raihan Wan Abdul Rahman, 63, berkata kehadiran beliau mewakili rakyat Pahang yang sentiasa taat kepada kepimpinan Al-Sultan Abdullah.

Datuk Wan Nor Raihan Wan Abdul Rahman

”Saya tahu ada perhimpunan ini jadi atas kerelaan hati hadir memberi sokongan. Saya sayang raja saya, Daulat Tuanku,” katanya.

Pada perhimpunan anjuran Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) itu dihadiri lebih 100 peserta daripada mahasiswa dan orang awam yang berlangsung dengan aman di bawah pemantauan pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast