KUALA LUMPUR – Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi merupakan platform terbaik untuk mengasah dan menonjolkan bakat dalam kalangan pelajar berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, karnival tersebut memberi peluang kepada guru Orang Asli dan Pribumi (OAP) bertukar pengalaman dan idea mengenai pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Ini merupakan peluang perkongsian yang amat penting bagi anak-anak kita dan guru-guru dalam perkongsian dari segi pengalaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi (OAP) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini.

Jelas beliau, karnival yang diadakan pada kali ketiga sejak dimulakan pada 2022 ini merupakan bukti terhadap komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan tiada isu keciciran dalam kalangan pelajar OAP.

Selama tiga tahun penganjurannya, Wong menyifatkan respon yang diterima sebagai positif.

“Apabila kita berbincang berkenaan pendidikan khasnya bagi murid OAP, kita tidak boleh lari dari isu keciciran pendidikan. Untuk mengelakkan isu ini berlaku, KPM bertekad menyediakan akses pendidikan yang secukupnya khasnya kepada anak-anak di pedalaman,”ujarnya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2024.

Menurut Kah Woh, seramai 185 murid OAP menyertai Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, selain 100 guru pengiring atau pembimbing, 18 pempamer, 34 orang hakim dan 106 ahli sekretariat.

Selain itu sebanyak 11 acara dipertandingkan kali ini antaranya Pertandingan Kajian Tindakan Guru, Pertandingan Nyanyian Solo, Pertandingan Nyanyian Duet, Pertandingan Puisi, Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu dan Pertandingan Bercerita Bahasa Inggeris.

Kategori lain yang turut disediakan adalah Pertandingan Pembacaan Berita Bahasa Melayu, Pertandingan Pembacaan Berita Bahasa Inggeris, Pertandingan Young Innovators Challenge, Pertandingan Robotik dan Pertandingan Tarian Tradisional.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu merupakan anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan JPN Perak. -MalaysiaGazette