Mufti Pahang, Datuk Profesor Dr. Asmadi Mohamed Naim

PEKAN – Umat Islam wajib menzahirkan ketaatan kepada kepimpinan sultan yang memerintah kerana peranan Raja-Raja Melayu adalah menjadi payung kepada negeri dan negara.

Mufti Pahang, Datuk Profesor Dr. Asmadi Mohamed Naim menegaskan, apa sahaja keputusan yang dilaksanakan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam perintahan baginda, adalah untuk kebaikan agama, bangsa, negeri dan negara.

Lebih-lebih lagi kebijaksanaan baginda ketika memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah dirasai oleh rakyat jelata.

”Ahli politik wajib akur dan tidak seharusnya menjadikan keputusan baginda sebagai pendebatan atau pertikaian sehingga tidak menghormati institusi diraja itu.

”Jabatan Mufti Negeri Pahang menjunjung teguran yang dibuat oleh Ke bawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang menegur komen negatif oleh ahli politik terhadap keputusan Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang sebagai YDPA terdahulu.

”Rakyat wajib memberikan ketaatan terhadap keputusan YDPA tersebut kerana baginda telah membuat keputusan berdasarkan fakta tanpa bias, dan untuk kestabilan negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ujar Dr. Asmadi, sebagai rakyat dan umat Islam di Malaysia, kita perlu menghormati pemimpin selaras dengan menghayati prinsip Rukun Negara.

Meskipun wujud perbezaan idealogi politik dan sebagainya, tetapi ia bukan asbab untuk membelakangkan istitusi istana kerana kedudukan Raja-Raja Melayu merupakan tertinggi dalam negara.

”Raja-raja Melayu telah terbukti menjadi payung apabila keadaan politik tidak stabil sejak lebih lima tahun lalu  khususnya peranan Al-Sultan Abdullah sebagai YDPA.

”Kempen dan perbezaan politik dalam kalangan ahli politik seharusnya tidak menyentuh Ke bawah Duli Raja Raja Melayu.

”Keputusan yang dibuat oleh Al-Sultan Abdullah ketika itu telah dibuat setelah mengambil kira kedudukannya sebagai YDPA yang menimbang dengan teliti keadaan sebenar suasana politik negara ketika itu,” tambah mufti.

Artikel berkaitan: Muhyiddin tak patut heret Al-Sultan Abdullah untuk raih undi – Wan Rosdy

Tolong hormat raja saya – Tunku Azizah

Rakyat Pahang pun tergores hati dengan kenyataan Muhyiddin – Wan Rosdy

Istana Pahang buat laporan polis terhadap Muhyiddin

Isu 3R: Tak sepatut keluar dari mulut Muhyiddin – Fakhruddin

Baru-baru ini Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah murka dan amat terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ceramah semasa Pilhan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.

Tengku Hassanal menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama, bangsa).

Titahnya, Muhyiddin sengaja memperlekeh serta mempertikaikan tugas dan peranan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong yang ke-16.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast