Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Betau yang terletak di Kuala Lipis Pahang sebagai Kampung Angkat Madani.

Timbalan Menterinya Wong Kah Woh berkata,  kementerian tersebut akan melaksanakan penambahbaikan dan menyediakan beberapa kemudahan-kemudahan di sekolah itu demi memberi manfaat kepada pelajar-pelajar orang asli (OA) di sana.

Ini termasuklah menambah baik bekalan air bersih, elektrik dan internet.

“Pihak KPM akan mempergiatkan usaha menyediakan kemudahan-kemudahan tambahan kepada sekolah ini termasuk internet dan tablet. Kita juga akan melaksanakan usaha menambah baik penyaluran air bersih dan elektrik ke bangunan baharu sekolah itu bagi memudahkan pembelajaran dan pemprosesan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi (OAP) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini.

Selain itu, KPM akan menyediakan bengkel membaiki motosikal di sekolah tersebut.

Terdahulu Wong berkata, setiap kementerian di bawah Kerajaan Madani diarahkan supaya memilih satu kampung angkat di bawah Program Kampung Angkat Madani 2024.

Pelancaran program tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai lalu.

Program tersebut bertujuan untuk menoktahkan masalah kemiskinan, selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan.- MalaysiaGazette