Kilang memproses sawit yang mana berlaku insiden lelaki tempatan dipercayai terjatuh sebelum pakaian dan cebisan tulang manusia ditemui dalam insiden petang Selasa di Banting.Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Misteri mesin memproses buah sawit beroperasi tanpa operator semasa waktu rehat terjawab dengan penemuan serpihan tulang manusia dan cebisan baju atas timbunan serat sawit, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, seorang pengurus di kilang memproses sawit, Jenjarom Banting, Selangor mendapati rakan sekerjanya tiada di lokasi dan mesin serat beroperasi tanpa operator walaupun beliau dan pekerjanya mencari merata tempat dalam kawasan kilang tersebut.

“Malangnya, pada jam 5.57 petang mereka menjumpai kasut, serpihan baju serta cebisan tulang manusia di hujung mesin penghantar di atas timbunan serat sawit dan mangsa dipercayai terjatuh ke dalam mesin pemproses tandan sawit semasa mengendalikan mesin tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari tadi.

Menurut Ahmad Ridhwan, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan pekerja berusia 34 tahun daripada pengurus wanita itu pada jam 9.15 malam

Tambah beliau, siasatan mendapati pengadu telah keluar berehat jam 1 petang dan masuk semula bekerja jam 1.50 petang manakala rakan sekerja mangsa keluar rehat jam 2 petang dan masuk semula kerja jam 2.30 petang.

“Ketika itu rakan itu mendapati mangsa tiada di lokasi dan mesin serat beroperasi tanpa operator sebelum pengadu dan pekerjanya mencari merata tempat dalam kawasan sekitar kilang tersebut.

“Malangnya, pada jam 5.57 petang mereka telah menjumpai kasut, serpihan baju serta cebisan tulang manusia di hujung mesin penghantar di atas timbunan serat sawit dan mangsa dipercayai terjatuh ke dalam mesin pemproses tandan sawit semasa mengendalikan mesin tersebut,” katanya dalam kenyataan tengah hari tadi.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kematian mangsa dan pihak polis mengklafikasikan kes itu sebagai kematian mengejut (SDR).

Ahmad Ridhwan yang dihubungi MalaysiaGazette memberitahu, tubuh badan mangsa hancur sepenuhnya dalam insiden itu.

“Kita mendapati mangsa baru lapan hari bekerja di kilang berkenaan sejak 13 Ogos 2024,” ujarnya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette