Maqis merampas kobis yang dibawa masuk dari Singapura selepas menahan sebuah lori di KSAB, Gelang Patah, Iskandar Puteri, kelmarin.

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah lori dengan muatan 216 kotak sayur jenis kobis panjang bernilai RM6,800 dari Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Edie Putra Md Yusof berkata, hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasa menemukan muatan 2,160 kilogram (kg) kobis panjang diimport bersama-sama perosak jenis Phyllotreta spp yang masih hidup.

“Lori yang membawa pelbagai jenis sayur-sayuran terbabit telah diarahkan untuk berpatah balik ke negara asal selepas dikesan mempunyai serangga perosak.

“Konsainan terbabit ditolak kemasukannya dan Jabatan Maqis telah mengarahkan konsainan tersebut dihantar pulang ke negara asal.

“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan perosak, penyakit atau bahan cemar adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Edie Putra, pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Katanya, Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan.

“Penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi memastikan biosekuriti makanan negara sentiasa terkawal,” ujarnya. – MalaysiaGazette