DATUK Seri Wee Ka Siong ketika mengadakan pertemuan dengan MCA Bahagian Kluang di Johor, baru-baru ini. - Foto: FB Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – MCA memulakan langkah awal untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang akan diadakan pada 28 September depan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, parti itu sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas PRK Mahkota termasuk mendirikan bilik gerakan di Pusat-pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi membantu jentera pilihan raya BN dalam aktiviti kempen.

Malah, ujar beliau, pimpinan MCA Pusat dan Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Johor juga akan memberikan sokongan penuh kepada MCA Bahagian Kluang sepanjang kempen PRK Mahkota.

“Saya juga menyeru semua ahli parti supaya menjalankan amanat Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar menumpukan sepenuh usaha kita bagi memastikan kemenangan BN dalam mempertahankan kerusi DUN Mahkota ini,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan kepimpinan MCA Bahagian Kluang bagi membincangkan hal ehwal parti termasuk berkaitan gerak kerja PRK Mahkota.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September depan.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru.

Sharifah Azizah menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi; calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan (7,614 undi) dan calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman (555 undi).

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menegaskan calon Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Mahkota adalah daripada BN.

DUN Mahkota mempunyai 66,318 orang pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa dan 4,510 tentera serta pasangan, 401 anggota polis dan 10 pengundi luar negara.- MalaysiaGazette