Bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beredar selepas memberi keterangan kepada pihak polis berkaitan ucapannya yang didakwa menyentuh isu 3R semasa PRK DUN Nenggiri, di Bangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 21 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyddin Yassin selesai memberikan keterangan kepada polis berhubung ucapan beliau semasa kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan Ogos ini.

Bekas Perdana Menteri Kelapan itu berkata, beliau dirakam keterangan oleh pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman selama kira-kira sejam di pejabatnya yang terletak di Bangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), KL Sentral hari ini.

Katanya, beliau telah menyerahkan beberapa dokumen penting bagi tujuan membantu siasatan lanjut polis dalam kes ini semasa proses merakam kenyataan itu.

“Hari ini pihak polis telah mengambil kenyataan saya berhubung ucapan saya semasa kempen PRK Nenggiri dan saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan menjelaskan fakta-fakta berhubung ucapan saya.

“Untuk tujuan membantu siasatan saya telah menyerahkan kepada polis beberapa dokumen iaitu dua pucuk surat daripada Speaker Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022 mengandungi titah perintah YDPA ke-16 meminta mana-mana ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli dewan Rakyat yang lain untuk menjadi perdana Menteri menghantar akuan-akuan berkanun kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada 21 November 2022 sebelum jam 2 petang.

“Saya juga serahkan sebanyak 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai PM yang telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022 jam 1.28 petang, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.

“Saya turut memberikan Surat Akuan Penerimaan Akuan Berkanun daripada Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim, Setiausaha Sulit Kanan YDPA Ke-16 bertarikh 21 November 2022 yang mengesahkan beliau telah menerima dokumen-dokumen tersebut dan dokumen lain yang berkaitan,” katanya menerusi kenyataan yang diedarkan tengah hari tadi.

Beliau yang Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, dengan penjelasannya kepada polis beserta dokumen yang diserahkan kepada mereka, beliau sangat berharap polis akan menjalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama menurut lunas undang-undang.

Mengulas lanjut dalam kenyataan tersebut, Presiden Bersatu itu mempertahankan bahawa ucapan beliau langsung tidak mempunyai niat untuk menghina raja di negara ini.

Sebaliknya, ia adalah ucapan berfakta mengenai penubuhan kerajaan selepas PRU-15 secara sepintas lalu dan menceritakan mengenai kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan mereka.

“Namun, terdapat pihak yang telah memutarbelitkan ucapan saya termasuk menyunting video ucapan saya dengan niat untuk memfitnah kononnya saya telah menghina YDPA Ke-16, Al-Sultan Abdullah dan menghasut rakyat supaya membencir Raja.

“Lagipun, dalam kenyataan saya kepada polis hari ini, saya menjelaskan tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali dan sebaliknya berniat jahat,” ujarnya.

Tegasnya, beliau hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewn Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai PM selepas PRU-15.

Katanya lagi, tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapannya yang menghina raja atau mempertikai keputusan Seri Paduka Baginda pada masa itu.

Lagipun, katanya, perkara itu sudah berlaku hampir dua tahun lalu dan sepanjang tempoh itu saya tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina atau membenci institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

“Malah, saya juga tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai PM apatah pada 24 November 2022 saya telah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada PM Ke-10.

“Apa yang saya sebut dalam ucapan saya hanyalah fakta yang menjadi sebahagian daripada rekod sejarah,” kata beliau lagi.-MalaysiaGazette