KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang bermula secara rasmi hari ini perlu memperlihatkan usaha ke arah melebarkan pengaruh parti itu dalam kalangan generasi muda.
Bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, perjalanan UMNO bukan sahaja untuk mengekalkan kedudukannya sekarang, tetapi juga meluaskan pengaruh parti itu terutama dalam kalangan pengundi muda yang merupakan penentu masa depan negara.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, sudah tiba masanya untuk UMNO melibatkan diri, mendengar dan menyelaraskan dengan aspirasi belia dalam memastikan suara mereka bukan sahaja didengar, malah turut disepadukan ke dalam dasar dan keputusan.
“Gunakan perhimpunan ini untuk membangunkan strategi dan berpadu dengan semangat keazaman yang diperbaharui.
“Terus berusaha ke arah membina UMNO yang lebih kukuh dan lebih inklusif, berakar pada prinsip, sambil merangkul peluang yang menanti,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau.
Tambah beliau, kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini ketika di ambang PAU 2024 juga menjadi bukti dedikasi dan kesetiaan ahli parti yang tidak berbelah bahagi.
“Adalah jelas bahawa parti ini berada di landasan kemajuan, berhubung semula dengan penyokong teras dan meningkatkan semangat,” katanya.
PAU 2024 bermula secara rasmi hari ini selama empat hari sehingga Sabtu ini, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini. – MalaysiaGazette