KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal menyatakan secara spesifik kepentingan Datuk Seri Najib Razak dalam semua pertuduhan yang dihadapinya, kata peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Pada prosiding, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bertanya pasukan pendakwaan adakah mereka pernah menyatakan tentang kepentingan bekas Perdana Menteri itu secara langsung dalam empat pertuduhan salah guna kedudukannya, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mengakui pihaknya tidak menyatakan ia secara khusus.
Sebaliknya Ahmad Akram memberitahu, hakikatnya isu kepentingan bukan elemen utama dan penting yang perlu dibuktikan.
Sebaliknya tambah beliau, pihak pendakwaan telah menggariskan dengan jelas semua butiran bagaimana Najib sebagai bekas Perdana Menteri dan penjawat awam menyalahgunakan kedudukan menerusi suapan.
Ahmad Akram tidak memberi penjelasan secara terperinci kerana pasukan pendakwaan akan memperincikannya selepas pasukan pembelaan selesai berhujah.
Sementara itu, Muhammad Shafee yang mengetuai pasukan pembelaan Najib berkata, bagaimana terdapat bukti bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memperolehi ratusan juta ringgit masuk ke dalam akaun mereka namun anak guam beliau tidak menerima apa-apa, malah berdepan dengan pertuduhan di mahkamah.
Tambah Muhammad Shafee, Najib kini sedang menjalani hukuman penjara untuk kesalahan yang tidak dilakukannya dan penghakiman dilakukan terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah satu ‘jenaka’ yang tidak boleh diterima.
“Kita tidak mahu perkara yang sama berlaku dalam kes ini, kerana adalah tidak adil untuk menuduh anak guam saya yang pada saya pendakwaan tidak melakukan dakwaan yang sewajarnya kerana tidak ada penjelasan di manakah sebenarnya kepentingan beliau dalam semua pertuduhan ini.
“Banyak duit yang masuk ke dalam akaun keluarga Zeti, Jho Low dan sekutunya tapi anak guam saya tidak mengambil sesen daripada ini dan tidak bermanfaat dalam tuduhan ini,” katanya di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Muhammad Shafee mempersoalkan bagaimana saksi pendakwaan seperti bekas pegawai Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang mempunyai hubungan rapat dengan Jho Low boleh diterima pakai keterangannya untuk ‘mengenakan’ Najib.
Peguam itu mendakwa Amhari menuding jari kepada Najib kerana saksi itu bukan sahaja rapat dengan Jho Low, sebaliknya banyak mengambil pinjaman seperti pinjaman rumah iaitu kira-kira AS$200,000 sebelum ini.
“Apakah kredbiliti saksi seperti ini? Pastinya akan menuding pada anak guam saya, beliau langsung tidak boleh berikan bukti terhadap tuduhan-tuduhan itu,” ujarnyanya.
Prosiding bersambung. – MalaysiaGazette