DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties’ di Sapru House Indian Council of World Affairs (ICWA) di New Delhi, India malam tadi. - Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Malaysia memberi jaminan akan bekerjasama rapat dengan India dan rakan dialog yang lain selaku Pengerusi ASEAN tahun depan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana menteri percaya selaku Rakan Dialog ASEAN, India akan terus memainkan peranan penting dalam memupuk pertumbuhan ekonomi, kerjasama keselamatan dan pertukaran budaya di seluruh rantau ini.

Jelas beliau, Malaysia juga merancang untuk meningkatkan penglibatan antara ASEAN dan Bay of Bengal Initiative for Multi-Sectoral Technical and Economic Cooperation (BIMSTEC).

Anwar menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini berkata, perkara itu antara yang disentuh ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties’ di Sapru House Indian Council of World Affairs (ICWA) di New Delhi, India malam tadi.

“Saya singgung sasaran Malaysia untuk mempelbagaikan usaha diplomasi ekonominya menerusi penyertaan dalam platform antara kerajaan seperti BRICS selain meningkatkan kerjasama melalui inisiatif bersama dan perkongsian strategik.

“Penyertaan dalam BRICS tidak hanya mengukuhkan hubungan ekonomi dengan India, namun turut membuka ruang kerjasama luas merentasi spektrum industri dan dasar,” tulisnya.

DATUK Seri Anwar Ibrahim pada majlis syarahan umum di Sapru House Indian Council of World Affairs (ICWA) di New Delhi, India malam tadi. – Foto: FB Anwar Ibrahim

Tambah Anwar, dalam syarahan umum itu, beliau turut menyentuh naratif Global South (negara sedang dan kurang membangun) yang mana Malaysia percaya ia tidak dapat dielakkan dan kebangkitannya akan memupuk perpaduan dalam kalangan pelbagai negara sambil menerima kepelbagaian dan perbezaan mereka.

Ujar beliau, naratif itu mewakili satu suara yang tidak lagi boleh diabaikan dalam kemunculan aturan antarabangsa dan pada hematnya, ia adalah perkara yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, sebagai pemacu utama kemakmuran global, Global South kini merangkumi kira-kira 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 85 peratus daripada populasi global.

“Menjelang 2030, tiga daripada empat ekonomi terbesar dunia dijangka datang dari Global South antaranya ialah India,” katanya.

Anwar tiba di India sejak Isnin lalu dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke negara itu atas jemputan Perdana Menteri, Narendra Modi. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast