Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa menunjukkan paparan stadium bola pada sidang media berkenaan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Polis Kuala Lumpur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sri Satria Blok A, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Sebanyak 65 peratus atau 2,488 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan pada perlawanan akhir Piala FA 2024 yang melibatkan pertemuan antara kelab bola sepak, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya akan meningkatkan kawalan keselamatan dan memastikan kelancaran lalu lintas bagi mengelakkan sebarang kekecohan berlaku.

“Kita menjangkakan kehadiran seramai 85,000 penyokong untuk kedua-kedua pasukan yang akan menyaksikan acara penuh gilang gemilang perlawanan bola sepak itu secara serentak.

“Sebelum ini, perlawanan yang sama kita menempatkan lebih kurang 1,500 orang tetapi pada tahun ini kita letak anggota yang ramai bagi mengawal keselamatan di kedua-dua penyokong pasukan terlibat.

“Susulan itu, seramai 250 polis trafik akan ditempatkan untuk mengawal aliran trafik seawal jam 9 pagi dan hanya 4,968 lot parkir yang akan disediakan di sekitar stadium,” katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa bercakap pada sidang media berkenaan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Polis Kuala Lumpur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sri Satria Blok A, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Rusdi, kesemua pintu masuk ke dalam stadium akan dibuka bermula jam 4 petang.

“Bagi memastikan keadaan keselamatan sebelum, semasa dan selepas perlawanan berlangsung, kita akan mempertingkatkan lagi keselamatan dan kawalan di dalam dan di luar stadium.

“Pemeriksaan akan dilakukan sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium. Petugas akan memeriksa badan mahupun beg yang dibawa penonton,” ujarnya.

Dalam pada itu, polis akan membuat beberapa penutupan jalan dan lencongan bagi mengelakkan kesesakan di stadium terbabit.

Antara laluan terlibat adalah penutupan susur Lebuhraya Shah Alam (Kesas) ke lampu isyarat Sukom, lencong ke Awan Kecil/Awan Besar.

“Penutupan jalan lampu isyarat Sukom ke arah Jalan Merah Cagar, lencong ke Awan Kecil/ Awan Besar; penutupan susur ke Jalan Barat dari Lebuhraya Kesas, lencong ke Jalan Radin/ Sri Petaling.

“Penutupan susur ke Jalan Barat dari Jalan Radin, lencong ke Shah Alam, penutupan susur ke Jalan Barat dari Lebuhraya Kesas, lencong ke Jalan Radin/ Sri Petaling.

“Kemudian, laluan Puchong Link pula penutupan susur ke Jalan Barat dari arah Bulatan Lumba Kuda Lencong ke Kinrara serta penutupan susur Puchong Link ke Jalan Barat dari arah Kinrara, lencong ke Bulatan Kuda,” jelasnya.

Rusdi turut mengingatkan kepada penyokong kedua-dua pasukan supaya merancang perjalanan dengan menaiki pengangkutan awam, LRT, untuk ke stadium.

Selain itu, penyokong JDT dan Selangor FC diminta tidak menimbulkan kekecohan dan provokasi serta diminta mematuhi arahan daripada pegawai dan anggota polis yang bertugas.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur (KL) di talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan JSPT KL ditalian 03-20719999,” ujarnya. – MalaysiaGazette