Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2024 bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 21 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menghantar semula semua rakyat Palestin yang dibawa masuk ke negara ini, kata Kementerian Luar.

Jelas menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan ia adalah salah satu perjanjian yang telah dibuat antara Putrajaya dengan Gaza iaitu membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.

“Mereka tak mahu keluar dan tinggalkan tanah air. Mereka lebih rela mati di tanah air sendiri dan dengan janji kita membawa mereka ke sini untuk memberikan bantuan perubatan kepada mereka yang cedera dan kita mesti menghantar mereka pulang.

“Tiada persoalan sama ada rakyat Palestin akan menetap di Malaysia kerana mereka mahu pulang ke tanah air mereka,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), malam tadi.

Justeru itu, Mohamad berkata rakyat negara ini tidak perlu risau dengan dakwaan bahawa rakyat Palestin yang dibawa masuk akan dihantar ke negeri-negeri lain adalah tidak benar.

“Tidak ada (hantar rakyat Palestin ke negeri-negeri lain) kerana kita telah janji. Bagi hubungan dua hala, saya yang menentukan selepas itu operasinya diuruskan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Mereka minta supaya kita memperakukan bahawa anak-anak yang (cedera) itu kita bawa dan akan balik semula,” ujar Mohamad.

Malah berdasarkan kepada perbualan dengan beberapa pemimpin Palestin, Mohamad berkata mereka tidak mahu meninggalkan tanah Gaza dan mengatakan mahu mati di sana.

“Bahkan mereka tak mahu pergi ke Jordan, biarlah mereka mati di situ,” katanya lagi.

Jumaat lalu, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Zionis di Gaza, selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang dengan diiringi oleh 86 waris.

Kedua-dua pesawat berkenaan membawa rakyat Palestin dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir, menggunakan penerbangan selama 13 jam dan sempat transit di Karachi sebelum menyambung perjalanan ke Malaysia.

Misi itu dilaksanakan atas pertimbangan kemanusiaan bagi menunjukkan solidariti rakyat negara ini bersama rakyat Palestin serta pendirian Malaysia menentang tindakan tidak berperikemanusiaan atau genosid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast