KUALA LUMPUR – Beberapa premis yang merupakan syarikat pengilang, pembungkusan dan pemborong minyak masak terlibat dengan sindiket penyelewengan sehingga mengakibatkan ketirisan subsidi sebanyak RM20 juta diserbu menerusi Ops Tiris 3.0 pada 9 Ogos lalu.

Serbuan itu sekaligus menumpaskan sindiket di sekitar Negeri Perak, Selangor dan Johor.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan melibatkan proses penghantaran minyak masak yang sepatutnya dilakukan sebuah kilang minyak masak yang beroperasi di Ipoh, Perak.

Bagaimanapun menurut beliau, penghantaran tersebut tidak berlaku.

Sebaliknya ia dihantar kepada syarikat-syarikat pemborong minyak masak di negeri Selangor dan Johor dalam kuantiti tertentu.

“Minyak masak bersubsidi terbabit sebahagiannya dikumpulkan di syarikat pemborong di Negeri Selangor, manakala selebihnya dikumpulkan di sebuah syarikat pemborong minyak masak di Negeri Johor sebelum dibungkuskan semula menggunakan bungkusan minyak masak botol dan dijual di pasaran mengikut harga minyak masak botol bukan bersubsidi,” katanya pada sidang media.

Sehubungan itu katanya, penguat kuasa KPDN menyita minyak masak, beberapa dokumen perniagaan lain seperti invois belian dan jualan, dokumen tuntutan subsidi minyak masak di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS) dan beberapa peralatan dan kenderaan yang digunakan dalam aktiviti haram tersebut.

Sementara itu, Azman berkata, dua individu warga tempatan berumur 20 hingga 30 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan untuk membantu siasatan.

Selain itu tambahnya, semua syarikat yang berkaitan akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu/syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette