Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan menghalang penggunaan aplikasi media sosial Telegram buat masa ini meskipun Majlis Perbandaran Amsterdam beberapa hari lalu dilaporkan melarang pekerja kerajaan menggunakan aplikasi tersebut di telefon kerja mereka.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak menerima sebarang arahan daripada Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) untuk menyekat aplikasi media sosial Telegram di negara ini.

“Kita belum keluarkan sebarang arahan, kebiasaannya aspek keselamatan ini diuruskan oleh CGSO, tapi setakat ini kita belum terima apa-apa arahan serupa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Fahmi ditanya sama ada kerajaan akan mengambil langkah serupa seperti Majlis Perbandaran Amsterdam yang melarang pekerja kerajaan menggunakan aplikasi Telegram di telefon pekerja kerana bimbang diintip.

Memetik kenyataan Ahli Majlis Perbandaran Amsterdam, Alexander Scholtes, larangan berkenan telah dilaksanakan hujung April lalu, walaupun tidak didedahkan kepada umum.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, pihaknya dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan meneruskan sesi libat urus dengan pemegang taruh dan semua pengendali platform media sosial serta sistem pesanan internet berhubung aspek pelesenan.

“Kita percaya dengan proses pelesenan itu nanti, semua platform media sosial dan sistem pesanan internet akan akur dengan syarat-syarat yang dikenakan untuk menjamin internet yang lebih selamat untuk rakyat Malaysia,” katanya.  – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast