KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah berusaha mengharamkan UMNO seperti yang didakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Dr Mahathir hari ini, sekiranya berhasrat mengharamkan UMNO, beliau sebagai Perdana Menteri boleh mengarahkan Menteri Dalam Negeri melakukannya serta-merta.
“Tetapi selama dua tahun lebih Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, UMNO terus ada,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, parti yang bernama UMNO masih ada hingga sekarang membuktikan parti itu tidak pernah diharamkan.
Jelas kenyataan itu, Dr Mahathir meminta Zahid membubarkan UMNO kerana parti itu sudah kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Ia juga tidak lagi mewakili orang Melayu; pemimpin-pemimpinnya terkait dengan rasuah dan sudah tidak lagi berjuang demi agama, bangsa dan tanahair seperti tujuan asal UMNO ditubuhkan.
“Pembubaran yang dicadangkan terletak di atas bahu Ahmad Zahid dan kepimpinan UMNO jika mereka menyedari bahawa parti itu telah terpesong dari perjuangannya dan tidak layak menggunakan nama UMNO.
“Ahmad Zahid juga kemudiannya telah didakwa di mahkamah atas 47 pertuduhan berkaitan rasuah,” katanya lagi.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang merupakan Presiden UMNO secara terbuka mengakui menjadi dalang utama menggulingkan Dr Mahathir dalam usaha menyelamatkan UMNO daripada diharamkan.
Menyifatkan tindakan luar biasa itu penting semata-mata untuk menentang Dr Mahathir yang didakwanya ketika itu mahu membatalkan pendaftaran UMNO. -MalaysiaGazette