Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bercakap kepada media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mendesak agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis supaya memberikan bukti keahlian Pas yang didakwanya.

Ab Rauf berkata, Muhammad Jailani gagal menjawab maklum yang diberikan oleh Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Ibrahim Durum kepada beliau supaya membuktikan penyertaannya dalam Pas. 

“Sampai hari ini, kita tidak menerima warkah rasmi daripada ADUN Rembia. Apabila tidak ada warkah rasmi selain daripada penerangan yang dibuat sewaktu sidang media.

“Kita memerlukan satu bukti yang menunjukkan beliau telah menjadi ahli Pas sejak sekian lama,” katanya dalam sidang media di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) hari ini.

Semalam, Ibrahim berkata, status Muhammad Jailani akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilih DUN, Jumaat lalu tetapi akan diumumkan kemudian.

Malah Ibrahim berkata, nasib bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri itu berkata, keputusan mengenai kedudukan Muhammad Jailani hanya akan diumumkan pada sidang DUN akan datang.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, surat tuntutan (LOD) kepada Muhammad Jailani telah diserahkan Ibu Pejabat UMNO.

“Perjanjian antara dirinya sendiri dengan parti telah dipersetujui bersama dan sedia untuk menerima tindakan parti sekiranya beliau tidak lagi berminat dalam UMNO dan BN.

“Segala terminologi dan syarat-syarat itu telah diberikan secara terperinci dan beliau telah menandatangani perjanjian persetujuan itu. Maka pihak ibu pejabat telah menghantar surat tuntutan sebagaimana yang dipersetujui Bersama sebelum menjadi calon BN dulu,” katanya lagi.

Muhamad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai parti Pas.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan kemasukan Muhamad Jailani ke parti berkenaan berkuat kuasa Jun tahun lalu.

Takiyuddin dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Muhamad Jailani pada 10 Jun 2023.

Dengan perkembangan itu, komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kini dianggotai tiga wakil pembangkang, meningkat seorang berbanding selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021. – MalaysiaGazette