Seorang bekas pegawai khas ahli politik didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan.

MUAR – Seorang bekas pegawai khas kepada ahli Parlimen di negeri ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan.

Tertuduh, Zainoor Juma’at, 45, yang juga Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Bayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyentuh anggota badan bagi maksud seksual ke atas seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun.

Tertuduh merupakan YDP PIBG sekolah pelajar berkenaan.

Perbuatan terkutuk itu didakwa dilakukan tertuduh di Kolam Renang Pura Kencana, Sri Gading, Batu Pahat pada pukul 6 petang, 25 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh diwakili peguam Siti Aishah Mohd Rais.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.- MalaysiaGazette