Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berucap pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 22 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO menggesa kerajaan memberi perhatian kepada isu-isu membabitkan diskriminasi dan keganasan terhadap wanita.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, banyak kes-kes keganasan wanita yang dilaporkan kebelakangan ini didakwa dipandang sebelah mata dan tidak diambil serius oleh pihak berkuasa sehingga menyebabkan kes terbabit menjadi lebih buruk.

Jelas beliau, terdapat aduan yang tidak diberikan perhatian, malah ada mangsa yang disuruh pulang ke rumah dan menyelesaikan sendiri kes yang dihadapi atas alasan ‘masalah keluarga’.

Sehubungan itu, ujarnya, Puteri UMNO menggesa supaya satu pusat aduan yang melindungi nama pelapor untuk tujuan keselamatan diwujudkan, sebagaimana yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa dalam melindungi ‘whistle blower’.

“Melalui platform ini, polis boleh membuat semakan silang atau ‘crosscheck’ terhadap nama yang dilapor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nurul Amal turut menggesa supaya kerajaan menyediakan lebih banyak Rumah Perlindungan Wanita buat mangsa-mangsa yang terkesan.

Jelasnya, inisiatif itu bagi menjamin keselamatan wanita yang menjadi mangsa selain dapat memastikan  bantuan psikologi dapat diberikan untuk mereka menangani trauma.

“Untuk makluman semua, Puteri UMNO juga ada menyediakan khidmat guaman menerusi Biro Perundangan kepada mereka yang memerlukan nasihat berkaitan,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, pihaknya juga menggesa supaya fungsi Talian Kasih ditambah baik dan maklumat berkaitan disebar luas dengan lebih berkesan melalui pelaksanaan pelbagai kempen dan program. – MalaysiaGazette