Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi (barisan hadapan, tujuh dari kiri) )bergambar bersama perwakilan selepas Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Malaysia 2024 sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO perlu membuktikan kepada pihak luar bahawa sayap parti itu bukan ditubuhkan sekadar sebagai penyeri parti.

Sebaliknya, tegas Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi, ahli-ahli sayap parti itu perlu lebih berani mengekspresi dan menonjolkan diri dalam perjuangan agenda parti.

Ujar beliau, meksipun mungkin tidak perlu terlalu radikal, namun Puteri UMNO harus tegas dan bijak berkomunikasi dalam menyatakan pendirian dan pendapat sendiri.

“Bagi orang luar, kita hanyalah sekadar penyeri parti. Jadi, buktikan dan jadikan ubat supaya semangat kita lebih kuat.

“Tiada sayap wanita muda parti lain seteguh Puteri UMNO. Kita parti yang matang, yang terbukti mampu berjuang.

“Setiap halangan dan cabaran, kita jadikan batu loncatan untuk menjadi lebih baik setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nurul Amal berkata, Puteri UMNO akan memperkasakan tiga teras perjuangan utama dalam usaha mengembalikan semula sokongan dan dokongan orang Melayu serta kaum bumiputera kepada parti tersebut.

Ujarnya, tiga teras utama itu adalah agama, pendidikan dan ekonomi yang menjadi akar perjuangan UMNO sejak sekian lama.

Menerusi teras agama, tambah beliau, Puteri UMNO mahu Majlis Ulama UMNO (MUU) diangkat sebagai sebuah badan penting dan bukan hanya berfungsi untuk isu-isu tertentu.

“Sudah tiba masanya, MUU berperanan sebagai badan yang terkehadapan dalam isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam di Malaysia,” katanya.

Tambah Nurul Amal, menerusi teras pendidikan, Puteri UMNO mahu parti itu sentiasa berdedikasi dalam memastikan hak pendidikan orang Melayu dan bumiputera terus terjaga ke arah membangunkan bangsa yang berjaya.

Jelas beliau, dalam teras ekonomi pula, Puteri UMNO berharap kerajaan tidak meminggirkan dan mengetepikan peluang dan ruang kepada bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara.

Ujarnya, kerajaan perlu melihat semula dasar-dasar baru dan pekeliling yang dikeluarkan supaya tidak sesekali meminggirkan hak ekonomi bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan.

“UMNO perlu menjuarai dan memperkukuh 3T ini (Teras Agama, Teras Pendidikan dan Teras Ekonomi).

“Inilah teras kita, inilah perjuangan kita, inilah bekalan kita kepada anak muda dan inilah naratif kita kepada pendokong dan penyokong kita.

“Inilah UMNO yang menjadi bayangkara (penjaga) kepada hak-hak orang Melayu dan Islam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast