Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air  akan memperkenalkan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), yang merupakan inisiatif progresif Kerajaan Madani dalam mewujudkan opsyen pembekalan elektrik hijau yang lebih luas kepada pengguna.

Inisiatif berteraskan akses pihak ketiga ini dijangka dilaksanakan pada September 2024.

Satu sesi dialog dan penerangan kepada pihak industri mengenai pelaksanaan Program CRESS telah diadakan pada 22 Ogos 2024 bagi mendapat maklum balas daripada pihak industri mengenai prinsip asas serta kerangka pelaksanaan program ini.

Sesi dialog yang dipengerusikan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menyaksikan kira-kira 250 pemain industri telah hadir dan pelbagai idea serta pandangan berkaitan pelaksanaan Program CRESS telah diutarakan.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri telah menutup sesi dialog ini dengan memaklumkan bahawa maklum balas yang diutarakan oleh wakil industry akan diteliti dan diambil kira dalam penyediaan garis panduan
pelaksanaan CRESS yang dijangka dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada bulan September 2024. – MalaysiaGazette