KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengesahkan dua kontraktor berlainan menjalankan kerja penyiraman pokok di jalan bypass berhampiran Persimpangan Cengkih di sini yang mengakibatkan dua kematian pada 7 dan 19 Ogos lalu.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Nor Hayatul Huda Othman berkata, pihaknya kini masih melakukan siasatan dalaman berhubung insiden berkenaan dan mengadakan pertemuan dengan polis bagi berbincang perkara berkaitan.
”Kerja-kerja penyiraman pokok di rizab-rizab jalan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik dan perlu memenuhi spesifikasi kerja yang telah ditetapkan terutama melibatkan aspek keselamatan.
”Penggunaan peralatan keselamatan seperti kon, bendera, papan tanda, baju keselamatan, lampu keselamatan dan sebagainya hendaklah mencukupi dan perlu digunakan setiap masa semasa kerja-kerja dijalankan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
BACA: Polis mahu MBK, kontraktor utama langkah keselamatan ketika kerja siram pokok
Jelas Nor Hayatul, jika terbukti kegagalan pihak kontraktor untuk mematuhi keperluan keselamatan akan diambil tindakan yang tegas oleh pihaknya termasuklah ditamatkan perkhidmatan.
BACA: Dalam sebulan dua kes maut siram pokok bunga tepi jalan
Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa memandu dengan berhemah, berhati-hati dan mengikut had kelajuan yang telah ditetapkan.
“Sentiasalah berwaspada dengan keadaan persekitaran sewaktu di jalan raya bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Menurutnya, semalam Bahagian Landskap MBK, Bahagian Perundangan MBK dan 17 kontraktor lantikan MBK dari 19 Zon Daerah Kuantan mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu di Bilik Mesyuarat IPD Kuantan.
Perkara yang dibangkitkan adalah isu yang telah berlaku, prosedur tatacara kerja, permasalahan yang berlaku, kekurangan serta cadangan penambahbaikan semasa melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan di sepanjang laluan dalam daerah Kuantan.
Sesi taklimat berjalan dengan lancar dan semua pihak akur akan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan memahami tindakan undang-undang boleh dikenakan jika didapati ingkar.
Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan dua kes maut membabitkan insiden kemalangan ketika menyiram pokok bunga di Jalan Bypass berhampiran Persimpangan Cengkih dekat sini dalam tempoh kurang dari dua bulan.
Susulan itu kedua-dua keluarga mangsa nahas telah melantik peguam dan berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berwajib. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: