S Jiveen (kiri) Pui Wei Hao (dua dari kiri), Chu Chien (merah) dan Lo Shaw Jie (kanan) didakwa atas pertuduhan mengedar dadah di Mahkamah Majistret, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Empat sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis MDMA dengan berat 59,581 gram (g), minggu lalu.

Tertuduh, Chu Chien Yaeh, 36; Lo Shaw Jie, 26; S Jiveen, 39; dan Pui Wei Hao, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin dan bahasa Melayu.

Namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, R Salini.

Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh secara bersama-sama didapati mengedar dadah berbahaya jenis MDMA dengan berat kasar 59,581g.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pada pukul 12.30 tengah malam di Pangsapuri Residensi Puncak, Jalan Dato Abdullah Tahir, Taman Abad, di sini, 12 Ogos lalu.

Bagi perbuatan tersebut, kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Empat lelaki itu boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman yang diberikan oleh mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah juga disebat tidak kurang 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada mahkamah setelah tertuduh yang dituduh dibawah seksyen 39B akta yang sama tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan semula bagi menunggu laporan kimia.

Isnin lalu, media melaporkan polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Mei lalu dengan menahan tujuh individu dan merampas pelbagai jenis dadah melebihi 60 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai lebih RM10 juta.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, sindiket yang aktif di daerah ini ditumpaskan dalam tiga serbuan berasingan antara 12 tengah hari hingga 2 petang, 12 Ogos lalu di sekitar bandar raya ini dan Seri Alam.

Kumar berkata, modus operandi digunakan sindiket itu adalah dengan menjadikan kediaman kawasan berpagar dan berpengawal untuk menjalankan aktiviti memproses dan membungkus dadah sebelum mengedarkannya ke pasaran tempatan negeri ini.

Tambahnya, pihak polis sedang mengesan dalang sindiket itu yang masih bebas iaitu Lo Show Shang berusia 36 tahun. – MalaysiaGazette