Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dusuki Ahmad

KUALA LUMPUR – Agama Islam tidak pernah terancam di bawah UMNO sebagaimana yang sering didakwa dan digemburkan pembangkang khususnya Pas.

Malah, Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dusuki Ahmad berkata, agama Islam bebas berkembang di negara ini ketika UMNO menjadi kerajaan selain turut dipayungi oleh Raja-Raja Melayu iaitu sesuatu yang tidak berlaku di mana-mana negara lain.

Bagaimanapun, kata beliau, masih ada ruang-ruang yang boleh diperbaiki oleh UMNO ke arah mengukuhkan lagi usaha pengembangan agama Islam di negara ini.

“Saya tidak nampak apa-apa ancaman terhadap Islam ketika kerajaan di bawah UMNO.

“Cuma sudah tentu apa kerajaan buat itu masih ada ruang untuk pengukuhan, masih ada ruang-ruang untuk melakukan yang lebih baik.

“Ruang-ruang itulah yang patut dimasuki (diperbaiki),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama UMNO Online sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dusuki berharap UMNO kembali dan kekal dengan perjuangan asal parti itu iaitu mengangkat agama Islam dan martabat orang Melayu.

Ujar beliau, UMNO perlu sentiasa dilihat sebagai sebuah parti yang berjasa di sebalik pengembangan agama Islam seperti yang ada dan berlaku di negara ini hari ini.

Tambahnya, pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu memperlihatkan akhlak sebagai seorang Muslim sebenar yang boleh dicontohi oleh seluruh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Apatah lagi, ujar beliau, pengaruh Pas sejak akhir-akhir ini semakin kendur apabila pemimpinnya dilihat terlalu kasar, keras dan kurang beradab dalam berpolitik.

“Maka, pemimpin UMNO hari ini perlu teruskan perjuangan pengembangan agama Islam ini dengan penuh semangat, ikhlas dan kasih sayang kepada bangsa dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast