ventilator
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekalan insulin manusia yang terjejas fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) baru-bau ii disebabkan isu pengeluaran pembekal tempatan.

Bagi memastikan rawatan pesakit diabetes dapat diteruskan tanpa gangguan, KKM telah mengambil beberapa pendekatan termasuk penggunaan insulin jenis analog dan terapi oral berdasarkan enilaian doktor.

Daripada 41 ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat diabetes, hanya insulin manusia yang mengalami isu bekalan.

Namun, KKM menegaskan, pengurusan diabetes untuk seluruh pesakitnya tidak terjejas.

“KKM pada 12 Ogos lalu mengumumkan penambahbaikan terhadap dasar perolehan untuk memastikan keterjaminan, ketersediaan dan pulangan nilai terbaik untuk produk farmaseutikal serta peranti
perubatan.

“Bagi jangka sederhana dan panjang, KKM yakin bekalan insulin akan berada pada tahap optimum.

“Usaha untuk mempelbagaikan sumber bekalan insulin sedang digiatkan bagi memastikan keterjaminan dan ketersediaan bekalan pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelasnya, pengeluar tempatan serta pembekal dari luar negara yang berminat digalakkan untuk mendaftarkan produk insulin mereka dengan pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang akan memberi keutamaan dalam proses penilaian.

Dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, KKM tidak akan berkompromi dalam isu yang mengganggu-gugat bekalan ubat-ubatan yang merupakan aspek penting dalam penjagaan kesihatan.

Pada masa sama, pesakit diabetes disarankan untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor yang merawat mereka untuk sebarang pencerahan dari semasa ke semasa.

Selain itu, orang ramai digalakkan untuk mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber yang sahih berhubung isu kesihatan.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati 1 daripada 6 (15.6 peratus) dewasa di Malaysia menghidap diabetes, manakala 84 peratus daripada orang berumur 18 hingga 29 tahun tidak tahu mereka menghidapnya.

Sehubungan itu, orang ramai turut dinasihatkan untuk mengambil langkah proaktif dalam kawalan kesihatan kendiri selaras Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS). – MalaysiaGazette