Kamil Ibrahim sebak ketika mendengarkan ucapan dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 ketika berada di hospital hari ini

KUANTAN – ”Jauh di mata dekat di hati, tidak dapat hadir ke dewan PAU namun mengikuti”.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim semangat bersidang meskipun hanya di atas katil hospital  selepas dimasukkan wad pada kelmarin.

Namun keadaan itu katanya tidak menghalang beliau bagi memantau perjalanan Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU 2024).

Mohd Kamil Ibrahim

Berbekalkan telefon pintar, Kamil reda dengan keadaan yang terpaksa menerima rawatan sebelum perhimpunan UMNO dibuka gelanggangnya malam tadi.

Ujar Kamil jiwa politik itu terubat apabila mendengar ucapan Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia sempena PAU 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada hari ini.

Menurutnya pada majlis itu, Hafiz Arifin ketika membentangkan laporan pentadbiran dan hal ehwal semasa Pemuda UMNO Malaysia.

Hafiz mengumumkan pencapaian memberangsangkan Pemuda UMNO Pahang berdasarkan statistik peningkatan ahli pemuda di negeri ini.

”Dalam wad pun rasa kurang sikit sakit ini, terubat bila tengok ‘online’ dan dengar Pahang diumumkan mendahului peningkatan ahli tertinggi  sebanyak 5.15 peratus bagi keahlian pemudanya.

”Sehingga Ogos keseluruhan keahlian pemuda ialah 427,230 di mana ada peningkatan keahlian 12,392 ahli.

“Pahang mendahului peningkatan tertinggi jumlah keahlian sebanyak 5.15%, ataupun meningkat daripada 28,625 orang kepada 30,100 orang ahli disusuli Johor 54,182 dan Perak pula 36,303 ahli,” katanya.

Ujarnya pencapaian berkenaan hasil komitmen semua ahli yang telah membuktikan gerak kerja pemuda di negeri ini yang disifatkan luar biasa.

Tambah Kamil, teks ucapan Pergerakan Pemuda UMNO Pahang pula telah dibacakan oleh Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Azly Norzan pada sidang pagi tadi.

”Antara intipati yang disampaikan ialah Pemuda Pahang dengan mencadangkan agar pendedahan awal  buat anak-anak muda ini dalam arena politik.

”Kaedah tersebut boleh dilakukan menerusi cadangan kepada Pemuda Malaysia agar mempertimbangkan had umur kebolehahlian Pemuda UMNO daripada 18 kepada 16 tahun,” katanya.

Ujar beliau, kelebihan penyertaan ahli dari kalangan remaja dan belia itu dapat menyemai jiwa poltik selain perjuangan dalam memartabat maruah bangsa dan agama. – MalaysiaGazette