Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri disebabkan oleh kempen berbau kebencian dan perkauman.

Pembahas mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Perlis dari Bahagian Padang Besar, Mohamad Azhar Sudin berkata, kempen PN hanya pandai menabur kebencian dan tidak mendatangkan keuntungan kepada rakyat di kawasan tersebut.

“Rakyat sekarang lebih bijak menilai dan rakyat tidak suka akan gerakan kempen seperti itu. Rakyat tidak nampak apakah keuntungan yang mereka akan dapat jika berterusan menerima ideologi negatif dari pembangkang,” katanya ketika dalam perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Azhar berharap apa yang berlaku di Nenggiri diharap memberikan kesan positif kepada Barisan Nasional secara keseluruhannya.

Malah, katanya, kemenangan tersebut juga dilihat dapat meningkatkan sokongan undi anak muda.

“Ini menunjukkan bahawa, peranan yang dimainkan oleh calon dan gerakan yang dibuat oleh Dr Akmal Salleh dan rakan-rakan pemuda yang lain telah membuahkan hasil yang baik.

“Sikap pimpinan tertinggi UMNO yang menampilkan pemimpin-pemimpin muda dan segar merupakan satu langkah yang sangat proaktif,” katanya lagi.

Sabtu lalu, calon BN,  Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang pada PRK DUN Nenggiri.

Mohd Azmawi Fikri mendapat 9,091 undi dengan majoriti 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail (5,739 undi). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast