KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penjualan Kopi Pejuang kerana mengandungi tadalafil iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk.
KKM berkata, penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran.
Bahan tersebut juga boleh menyebabkan penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.
Di samping itu, label produk tersebut didapati tidak mematuhi kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama dan alamat pengilang / pembungkus / pengedar / empunya hak untuk mengilang / pengimport.
“Sehubungan itu, produk tersebut tidak boleh diiklankan untuk jualan dan tidak boleh dijual seperti dinyatakan di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983 mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Pemeriksaan berkala akan diteruskan bagi memastikan tiada penjualan produk makanan yang dicampur atau mengandungi bahan terlarang ini.
“Pihak terlibat seperti pengilang, pembungkus, pengedar, ejen pemasaran dan penjual mempunyai tanggungjawab untuk memastikan produk makanan yang dijual mematuhi perundangan makanan.
“Sehubungan itu, semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.
“Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut,” katanya.
KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menegaskan produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, sibutramine, dexamethasone dan prednisolone sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.
Sejak tahun 2021 sehingga Julai 2024 sebanyak 500 sampel kopi pelbagai jenama telah dianalisa bagi parameter racun berjadual.
Sebanyak 7 sampel (1.4%) didapati mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan-
Peraturan Makanan 1985. Tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas syarikat dan produk terlibat.- MalaysiaGazette