KUALA TERENGGANU – Seorang kontraktor pembalakan berputih mata selepas terjerat dengan perjanjian jual beli balak bernilai RM450,000 yang tidak wujud.
Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata. mangsa diperdaya oleh dua lelaki sehingga melakukan pembayaran berjumlah RM238,000 sejak Ogos 2022.
Jelasnya, lelaki berkenaan telah berjumpa dengan kedua-dua suspek yang dikenali dan berbincang mengenai urusan jual beli kayu balak yang didakwa telah mendapat kelulusan daripada Felcra Berhad.
”Mangsa telah bersetuju dengan tawaran yang ditawarkan untuk membeli kayu balak berkenaan dengan nilai RM450,000 dan dikuatkan lagi bersama surat perjanjian dengan lelaki ini yang dibuat di pejabat guaman.
”Mangsa juga telah pergi ke kawasan pembalakan tersebut dan melihat kawasan berkenaan dan membuatkan mangsa lebih yakin dengan tawaran yang ditawarkan oleh lelaki berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Susulan itu katanya, mangsa membuat pembayaran secara melalui pemindahan wang ke atas dua akaun lelaki berkenaan bagi tujuan jual beli kayu balak sebanyak dua kali.
Bagaimanapun pada 2023, mangsa dihubungi Pejabat Hutan Daerah Kuala Terengganu Utara dan dimaklumkan oleh Felcra Berhad yang mendapati dokumen yang ditunjukkan kepada mangsa bagi urusan jual beli adalah palsu.
Manakala pengesahan oleh Felcra Berhad memaklumkan ia tidak pernah memberi projek konsesi balak kepada dua lelaki berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN :
Ada scammer menyamar jadi CEO Kumpulan Naza Automotive
Waspada sindiket ‘Job Scam’ tawaran gaji lumayan perdaya mangsa
”Mangsa telah berhubung dengan kedua-dua suspek untuk menuntut pembayaran semula wang mangsa namun saspek enggan membuat pembayaran kepada mangsa sehingga mangsa rasa dirinya telah ditipu sehingga mengalami kerugian,” tambahnya,
Justeru Azli berkata, laporan polis telah dibuat oleh mangsa semalam oleh mangsa di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Kuala Terengganu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan, ujarnya. – MalaysiaGazette