Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi (dua kiri) menyerahkan tabung sumbangan kepada Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 22 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Laungan `Bebaskan Palestin’ bergema di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini, iaitu lokasi di mana berlangsungnya Perhimpunan Pergerakan Puteri UMNO 2024.

Lebih manis, laungan itu dipimpin oleh Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali sambil disambut Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi serta lebih 3,000 ahli sayap parti tersebut.

Walid Abu Ali dijemput sebagai tetamu khas pada Perhimpunan Pergerakan Puteri UMNO 2024 susulan sayap parti UMNO berkenaan hari ini melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin 2.0.

Ketika berucap pada majlis itu, Walid Abu Ali menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa berada di belakang perjuangan rakyat Palestin.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berucap pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 22 OGOS 2024

“Kepada semua ahli Puteri UMNO, kepada UMNO, kepada Malaysia, kepada semua rakyat Malaysia, terima kasih.

“Sokongan solidariti anda semua akan sentiasa tersemat di hati rakyat Palestin.

“Akan datang harinya untuk kami rakyat Palestin pula menjadi hos (tuan rumah) kepada anda (rakyat Malaysia) di Masjid Al-Aqsa.

“Bebaskan Palestin, bebaskan Palestin, bebaskan Palestin,” katanya.

Tabung Kemanusiaan Palestin 2.0 merupakan inisiatif Puteri UMNO untuk mengumpul dana bagi membantu rakyat negara itu meneruskan kehidupan khususnya dalam persediaan memasuki musim sejuk di negara berkenaan tidak lama lagi.

Ia juga merupakan tanda sokongan dan solidariti ahli-ahli Puteri UMNO kepada nasib rakyat Palestin yang terus menderita akibat kezaliman tentera regim Zionis-Israel.

Mula dilancarkan hari ini, Tabung Kemanusiaan Palestin 2.0 itu menerima sumbangan dana pertama daripada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin 1.0 yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu, Puteri UMNO berjaya mengumpul dana sebanyak RM150,000 yang diserahkan kepada Palestin menerusi Kementerian Luar. – MalaysiaGazette