Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes jenayah bunuh dan orang hilang secara ketara sejak beberapa bulan lalu antaranya berpunca daripada masalah kesihatan mental sama ada disedari atau tidak oleh individu terbabit.

Ketua Seksyen Kesihatan Mental, Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Redzuan Zamberi berkata, faktor organik atau faktor dalaman membabitkan sistem saraf dan otak boleh terkesan akibat dadah jenis marijuana.

“Jika kita lihat banyak faktor organik ini datang daripada dadah jenis marijuana yang boleh menyebabkan manusia atau diri bertindak di luar kawalan, dia melakukan sesuatu tindakan tanpa sedar.

“Ketika melakukan sesuatu itu, dia berada dalam keadaan separuh sedar atau subconscious mind. Ini yang dikatakan faktor organik di mana sistem saraf itu atau sistem endocrine yang mengganggu dalaman itu hingga bertindak di luar kawalan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ketua Seksyen Kesihatan Mental, Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Redzuan Zamberi

Menurut Redzuan, kes seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan berbogel selepas membunuh isteri dan anak lelaki berusia dua bulan di Johor Bharu pada Julai 2022 antara contoh masalah kesihatan mental yang tidak terkawal.

“Pernah dahulu kisah seorang jurutera yang membunuh isterinya kemudian keluar dengan berlumuran darah, apabila dia balik dan sedar semula, dia tengok polis sudah berada di sekeliling rumah.

“Dia seorang profesional, apabila ditanya oleh kaunselor di penjara, dia mengatakan dia melihat anjing hitam yang masuk ke rumah, jadi dia seolah-olah membunuh anjing hitam padahal isteri dia,” katanya.

Selain itu, katanya, faktor functional atau faktor bukan organik yang datang daripada genetik atau keturunan antara punca yang menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kes bunuh dan hilang diri di negara ini.

Jelasnya, berdasarkan kes jenayah beliau mendapati, masalah kesihatan mental bermula di awal tumbesaran kanak-kanak dan ada beberapa kes pula ketika dalam kandungan ibu semasa hamil.

“Kebanyakan kanak-kanak ini tidak tahu semasa bayi dia mengalami pendaman atau kemurungan daripada seorang ibu yang mungkin ada masalah kewangan, tekanan melampau dan masalah perkahwinan.

“Ia boleh memberi impak kepada sistem saraf bayi walaupun dalam kandungan lagi.

“Ketika dia lahir normal hingga remaja pun normal tapi bila diperiksa, dia menghadapi kecelaruan dan akhirnya dia tidak sedar perkara itu berkembang, personaliti dan sistem pemikiran berubah dan emosi tidak stabil,” katanya.

Redzuan juga berkata, kesihatan mental seseroang itu juga boleh terkesan daripada faktor persekitaran hingga boleh mempengaruhi dalam membuat keputusan apatah lagi menjadi jalan pintas untuk lari daripada masalah.

“Inilah mungkin trend atau cara terbaik untuk menyelesaikan masalah, contohnya mungkin dengan membunuh, kita boleh lari daripada masalah dengan simpan segala bukti dan sebagainya.

“Dia juga buat apa sahaja termasuk lakonan atau drama untuk mengelakkan daripada dipersalahkan.

“Contohnya dalam kes adik Zayn Rayyan, faktor-faktor itu digunakan untuk menutup segala bukti, mungkin pelaku itu telah merancang, kenapa benda itu berlaku, mungkin atas faktor tekanan atau suatu benda yang berlaku.

“Nak menjaga seorang kanak-kanak yang autisme memang satu tekanan, hanya ibu bapa yang tahu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendaman perasaan itu juga boleh dilihat dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

“Kalau seorang individu itu didera begitu hebat, ada pendaman emosi melampau, mungkin dia akan membalas dendam atau melakukan perkara sama untuk bertindak balas atau menjadi satu kemurungan melampau hingga sukar untuk menjadi positif atau rasional atau manusia normal.

“Kes buli, pendaman perasaan, mangsa rogol, mangsa buli, masalah perkahwinan, ini dikatakan sebagai Post Traumatic Stress Disorder (PTSD) di mana tekanan ataupun trauma yang datang daripada perkara lampau,” katanya.

Bagi kes orang hilang pula, beliau berkata, pada awalnya seseorang itu tidak mempunyai masalah kesihatan mental namun apabila individu itu gagal berdepan masalah, dia akan cenderung untuk bertindak secara tidak rasional.

“Secara psikologinya dia akan membawa kepada sistem irrational thinking atau berfikiran tidak rasional.

“Di sinilah wujudnya bisikan-bisikan untuk sama ada membunuh diri, membunuh dan menderakan seseorang ataupun melakukan sesuatu perkara lebih kejam, dekat sini wujud subconscious atau perlakuan tidak sedar,” katanya.

Katanya, faktor penyumbang kepada masalah kesihatan mental itu boleh dilihat daripada statistik National Health and Morbidity Survey 2019 yang mengatakan tabiat merokok dan pengambilan minuman beralkohol juga memberi kesan dan mengganggu faktor organik dan faktor functional seseorang manusia.

“Faktor organik dan faktor functional antara yang memberi kesan hingga terjadinya kes jenayah yang berlaku pada hari ini,” katanya.

Selain itu, faktor psikologi juga menjadi penyumbang utama kepada masalah kesihatan mental iaitu berlaku lambakan masalah atau tekanan hingga mendorong seseorang itu melakukan sesuatu tanpa sedar.

“Berlaku pendaman hebat yang berlaku, lambakan masalah yang datang bertimpa-timpa, masalah buangan, masalah keluarga, tekanan kerja, dan semua sekali impak.

“Ia menyebabkan fikiran seseorang itu terbeban teruk hingga tidak boleh tidur, tidak cukup rehat, makan tidak seimbang hingga mengganggu sistem saraf, otak serta sistem functional yang tidak organik.

“Akhirnya ia membawa kepada perlakuan tidak sedar sama ada dia melarikan diri daripada masyarakat dan berlaku bisikan-bisikan, gangguan mental, untuk mencederakan diri atau orang lain.

“Akhirnya bisikan-bisikan itu membuatkan dia ingin menamatkan sesuatu benda yang menjadi tekanan, kalau dia marah seseorang, mungkin dia terdorong untuk membunuh, lebih-lebih dia nak lari daripada masalah,” katanya.

Sehubungan itu, Redzuan menggesa semua pihak khususnya pakar berkaitan kesihatan mental memainkan peranan penting untuk mengekang masalah kesihatan mental daripada semakin parah.

“Pakar psikatri, doktor perubatan atau kaunselor atau pihak kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam hal ini dan ketika ini sudah pakar-pakar yang melatih di peringkat kerja ada AKRAB, Rakan Pembimbing Sekerja.

“Pada peringkat sekolah juga ada Rakan Pembimbing yang dilatih untuk membantu setiap lapangan dan golongan, kalau boleh setiap keluarga perlu ada kaunselor atau talian kaunseling diperluaskan untuk membantu secara drastik tak kira masa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette