KUALA LUMPUR – Akta Hasutan 1948 tidak mengambil kira niat seseorang mengeluarkan kenyataan yang sensitif, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, ini kerana tindakan sedemikian dianggap telah berlaku.
“Pada saya Akta Hasutan ialah satu undang-undang yang sangat tinggi tahapnya. Bagaimana kamu mahu jelaskan apakah niat kamu? Adakah niat dilihat sebagai pembelaan dalam Akta Hasutan? Itu bergantung kepada polislah (untuk siasat).
“Macam niat dia (Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin) saya tidak boleh jawab, orang yang lafaz tu saja yang tahu apa niat dia,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC), KL hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan Muhyiddin mempertahankan kenyataannya yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong ke-16 sebelum ini tidak mengundangnya untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun mempunyai sokongan cukup ahli Parlimen.
Mengulas lanjut Azalina berkata, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum pembentukan kerajaan perpaduan di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memastikan kuasa yang diamanahkan kepadanya tidak disalahgunakan dengan membuat pertemuan empat mata di antara setiap Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terhadap keputusan tersebut.
“Dalam kes ini kami dipanggil Agong, Agong kena puas hati dalam perkara ini, ia adalah budi bicara Agong. Saya tengok Agong dalam situasi berapa banyak kerajaan ditukar, dia tanya kami setiap seorang. Baginda nak sangat menjaga supaya dia tidak melebihi kuasa yang diberi pada dia,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Azalina menasihatkan Muhyiddin menghormati proses yang telah selesai sebelum ini dan menerimanya secara terbuka.
Tambahnya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga boleh menggunakan pilihan raya yang akan datang untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.
“Kita ada tinggal tiga tahun, lawan je lah. Tidak ada masalah ini demokrasi,” tambah beliau.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16, ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Susulan itu, Ahli Parlimen Pagoh itu disiasat di bawah Akta Hasutan.
Bagaimanapun, beliau mempertahankan kenyataannya sebagai fakta dan tidak bermaksud menghina institusi raja atau kecenderungan menghasut.
Beliau juga percaya bahawa kenyataannya tidak melanggar mana-mana undang-undang negara. – MalaysiaGazette