Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kepala Batas, Zainab Bakar.

KUALA LUMPUR – Undang-undang syariah di setiap negeri perlu diseragamkan bagi mengelak isu berbangkit pada masa akan datang.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kepala Batas, Zainab Bakar menyarankan supaya pemimpin Islam mengadakan perbincangan demi mencari pendekatan bagi melaksanakan sistem perundangan yang sama di seluruh negara.

Jelas beliau, perbezaan pentadbiran syariah berisiko mengundang kekeliruan dalam kalangan umat Islam dan yang bukan Islam.

“Cukup-cukup sudah dengan perbezaan pentadbiran pelaksanaan an penguatkuasaan undang-undang Islam antara negeri-negeri di negara ini yang akan menyebabkan perbezaan dalam penghakiman yang dibuat oleh mahkamah syariah antara satu negeri dengan negeri yang lain

“Walaupun penghakiman tersebut berhubung kes yang serupa ini boleh menimbulkan rakyat negara terutama umat Islam memberi gambaran yang tidak baik mengenai undang-undang Islam pada pandangan bukan Islam juga,” katanya ketika sesi perbahasan di Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Media pada 3 Julai lalu melaporkan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang berusaha untuk menyeragamkan undang-undang syariah.

Timbalan menterinya, Dr Zulkifli Hasan berkata, setakat ini, beberapa undang-undang syariah yang sudah diseragamkan adalah Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam, Undang-Undang Keluarga Islam dan Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah.

Selain itu, undang-undang lain adalah Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah dan Undang-undang Keterangan Mahkmaah Syariah.- MalaysiaGazette