Pada 22 Ogos lalu pesawat Air India menerima ancaman bom palsu ketika dalam penerbangan dari Mumbai ke Thiruvananthapuram. Foto: Twitter

NEW DELHI – Sebuah pesawat Air India dari Mumbai ke Thiruvananthapuram diasingkan di lapangan terbang berikutan ancaman bom yang diterimanya.

Berikutan itu pihak berkuasa di lapangan terbang Thiruvananthapuram mengisytiharkan darurat, lapor agensi berita PTI yang memetik sumber.

“Ancaman bom dimaklumkan oleh juruterbang ketika pesawat itu menghampiri lapangan terbang Thiruvananthapuram,” kata sumber.

Pesawat tersebut membawa 135 penumpang. Maklumat lanjut mengenai sumber ancaman tidak dipastikan.

“Penerbangan AI657 (Mumbai-Thiruvananthapuram) melaporkan satu ancaman bom pada jam 0730 pada 22 Ogos 2024. Pengisytiharan darurat penuh ke atas lapangan terbang TRV (Thiruvananthapuram) dilakukan pada jam 0736.

“Pesawat tersebut selamat mendarat. Ia kini diletakkan di slot pengasingan, di mana proses mengeluarkan penumpang dilakukan,” katanya.

“Tiada kesan ke atas nyawa penumpang. Operasi lapangan terbang kini mengalami gangguan,” menurut kenyataan Lapangan Terbang Antarabangsa Thiruvananthapuram.

Sementara itu, menurut kenyataan Air India, satu amaran keselamatan spesifik dikesan pada penerbangan AI 657 semasa penerbangan Mumbai ke Thiruvananthapuram.

“Semua penumpang dan kru dikeluarkan (dari pesawat) dengan selamat. Air India memberi keutamaan kepada keselamatan dan kru pesawat,” kata jurucakap syarikat penerbangan itu. – Agensi