KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing yang mengekori wanita di kawasan parkir sebuah pasar raya di Bukit Tinggi, Klang dalam kejadian yang tular di media sosial dicari polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, lebih kurang 4.30 petang Rabu lalu pihaknya mengesan video berkenaan dimuat naik di aplikasi X.
Siasatan awal mendapati lelaki itu didakwa mengekori wanita di parkir pasar raya dipercayai untuk cuba melakukan rompakan.
“Bagaimanapun, hasil semakan polis mendapati kami belum menerima apa-apa laporan polis berkaitan kejadian berkenaan.
“Siasatan di lokasi kejadian dan melalui pengesahan daripada pengawal keselamatan pasar raya terbabit mendapati lelaki berkenaan sebenarnya adalah seorang pengemis warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hoong Fong menambah, mengikut pengawal keselamatan itu, kebiasaannya pengemis warga asing berkenaan akan meminta wang daripada orang awam dengan cara baik dan tidak pernah menimbulkan apa-apa permasalahan.
Bagaimanapun, katanya, polis akan berusaha mengesan dan menjejaki lelaki terbabit bagi tindakan pencegahan.
“Selain daripada itu, polis juga akan mengesan dan merakam percakapan individu yang merakam perbuatan lelaki itu dan individu yang memuat naik video itu di media sosial.
“Pada masa yang sama, polis ingin menasihat orang awam agar tidak menyebarman video itu bagi mengelakkan kegusaran masyarakat setempat,” katanya.
Polis juga menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berkaitan insiden terbabit agar hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-337 62222 untuk membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette