Mohd Sohaimi (tengah) menunjukkan arak dipercayai tidak bercukai yang dirampas, dalam sidang akhbar di IPD Kota Tinggi, hari ini

JOHOR BAHRU – Polis merampas 537 tin dan botol minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai selepas menyerbu sebuah kedai runcit di Masai di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, menerusi serbuan pukul 4 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang dipercayai pembantu kedai.

“Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menemui 66 karton dan 20 kotak minuman kemas yang disimpan dalam stor dekat belakang kedai runcit berkenaan.

“Keseluruhan nilai rampasan ini dianggarkan sebanyak RM50,000 dan kita sedang menyiasat dari mana bekalan ini diperolehi.

“Kita juga sedang menyiasat sejak bila kegiatan ini dilakukan dan sama ada minuman keras itu hanya disimpan di lokasi itu atau pun untuk dijual di situ,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam hari ini.

Pihaknya kini mengesan majikan kepada suspek bagi menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Suspek kini ditahan reman selama 12 hari bermula semalam hingga 1 September ini. Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.- MalaysiaGazette