KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyokong kesediaan yang disuarakan Pemuda UMNO agar calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diberikan kepada sayap itu.
Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, sudah sampai masanya UMNO memberikan satu garis optik yang betul kepada rakyat dengan mengetengahkan calon-calon dalam kalangan orang muda.
“Saya sangat bersetuju untuk UMNO ini ketengahkan orang-orang muda sama ada Pemuda ataupun Wanita kerana ini adalah komposisi jantina yang akan menguasai parti pada masa akan datang.
“Bagi saya yang umur 60, 70 ini cukuplah…apa lagi mereka mahu, bagi kepada orang muda. Saya dulu pun bertanding umur 37 tahun, sampai sekarang saya dapat pengalaman.
“Datuk Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dia bertanding umur 42, Khaled Nordin (Naib Presiden UMNO), dia bertanding umur 28 tahun.
“Jadi, pengalaman yang lama tu akan mengajar kita untuk mengurus negeri dan negara bila diberikan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas permintaan Pergerakan Pemuda UMNO agar kerusi DUN Mahkota yang akan dipertandingkan bagi PRK pada 28 September ini diberikan kepada pergerakan sayap itu.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh menggunakan platform Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 bagi menyatakan perkara tersebut ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda, pagi tadi.
Beliau berkata, Pemuda UMNO sedia untuk menggalas tanggungjawab itu sekiranya diberi kepercayaan selepas berjaya melaksanakannya dengan sempurna di DUN Nenggiri.
Mengulas lanjut, Sharkar berkata, sekiranya Pemuda mahu mengetengahkan calon mereka, individu berkenaan perlulah mempunyai karekter seperti Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awi yang menang di Nenggiri.
Katanya, individu itu mestilah seorang yang boleh diterima oleh penduduk di kawasan yang ditandingi kerana itu adalah asas penting untuk beliau menang.
“Salah satu daripada masalah yang dihadapi oleh parti ini (UMNO), bila dapat orang ni, orang dia tak dapat dia lupa…ini masalah ni.
“Banyak dah berlaku terutama sekali bila pilihanraya umum…bila tak dapat bertanding dia rasa dia layak bertanding, lepas tu dia panggil orang ramai-ramai dia boikot parti, ini yang jadi masalah,” ujarnya.
Justeru, beliau mahu supaya sekiranya Pemuda merasakan ada individu dalam kalangan mereka yang layak untuk dicalonkan bagi kerusi DUN berkenaan, tiada bantahan, sebaliknya beliau sendiri akan menyokong hasrat itu. – MalaysiaGazette