Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dicabar untuk memanggil Ahli Parlimen (MP) bukan PN untuk mengesahkan Akaun Berkanun (SD) yang dikemukakan adalah ulen.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang membuat cabaran itu berkata, penyerahan 114 SD kepada pihak polis sahaja tidak memadai untuk mengesahkan sokongan terhadap beliau.

“Mereka perlu beri pengakuan terbuka bahawa mereka menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ke-10.

“Tanpa pengesahan daripada ahli Parlimen bukan daripada Perikatan Nasional maka SD itu mungkin telah dimanipulasi untuk mengelirukan orang ramai yang tidak tahu cerita sebenar.

“Pihak istana tahu cerita sebenar. Maka Muhyiddin perlu minta maaf kepada YDP Agong ke-16,” kata Mohd. Puad.

Media semalam melaporkan, Muhyiddin menyerahkan dokumen mengandungi 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Akuan Berkanun itu didakwa telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, pukul 1.28 tengah hari, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.

Selain itu, turut diserahkan Surat Akuan Penerimaan Akuan Berkanun daripada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim, bertarikh 21 November 2022 yang mengesahkan bahawa beliau telah menerima dokumen-dokumen tersebut serta dokumen lain yang berkaitan.

Ahli Parlimen Pagoh itu semalam dipanggil untuk memberikan keterangan kepada polis kira-kira satu jam berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast