KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO menerusi Biro Usahawan Wanita Muda hari ini melancarkan Program Usahanita Muda Peruncitan Nasional atau PUTERI@BHP.
Exco Pergerakan Puteri UMNO, Nor Akmal Muhammad berkata, PUTERI@BHP merupakan platform untuk memperkasa usahawan wanita muda dengan membantu mereka memasarkan produk perniagaan masing-masing.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Usahawan Wanita Muda berkata, program itu akan memberi fokus kepada konsep perniagaan peruncitan industri makanan untuk dipasarkan di kedai-kedai runcit BHPetromart di stesen-stesen minyak BHP seluruh negara.
“Produk-produk yang dipilih itu akan melalui saringan dan tapisan bagi memastikan tahap kualiti dan kebolehpasaran produk industri makanan berada di tahap yang terbaik dan mengikut garis panduan keselamatan makanan yang ditetapkan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Inisiatif PUTERI@BHP itu dilancarkan sempena Perhimpunan Pergerakan Puteri UMNO yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Menurut Nor Akmal, inisiatif yang diadakan dengan kerjasama syarikat Boustead Petroleum Sdn. Bhd. itu diharapkan dapat mempromosikan jenama usahawan wanita muda secara lebih meluas dan sistematik.
Jelasnya, PUTERI@BHP juga akan menjadi teras kepada nilai-nilai positif masyarakat Malaysia yang harmoni dan sejahtera dengan mempromosikan BHPetromart sebagai Pusat Pemasaran Produk-produk hiliran industri makanan oleh usahawan kecil dan sederhana.
“Ini seterusnya akan membantu Usahawan wanita muda membina masa depan untuk Malaysia yang lebih gemilang,” katanya. – MalaysiaGazette